MEMBANGUN GENERASI FURQAN

Ahad, 6 Oktober 2013

Amalan 10 hari pertama Zulhijjah



Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Setiap ruas sendi manusia wajib memberi sedekah pada setiap hari apabila terbit matahari. Mendamaikan antara dua orang (yang bertelagah) satu sedekah, membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya satu sedekah, kata-kata yang baik satu sedekah, setiap satu langkah ke tempat solat satu sedekah, membuang kotoran di jalan satu sedekah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan apa yang disebut oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam hadis di atas, Abu Dzar bertanya baginda, “Kalau saya tidak buat semua itu?”
Apa jawapan Nabi?
Baginda menjawab: “Engkau menolong orang yang sedang bekerja, atau membantu orang yang tidak mahir dalam pekerjaannya.”
Abu Dzar tidak berhenti di situ. Dia terfikir tentang golongan yang tidak punya apa-apa, baik harta, tenaga mahupun kepandaian, maka apa yang boleh dia lakukan? “Bagaimana ya Rasulullah, mereka yang tidak ada kebolehan untuk melakukan apa-apa amalan?”
Namun Nabi sallallahu alaihi wasallam berpandangan lebih luas daripada itu. Lalu baginda menjawab: “Engkau menahan dirimu daripada melakukan kejahatan terhadap manusia. Sesungguhnya itu adalah satu sedekah daripada dirimu untuk dirimu!”
Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Alangkah luasnya ruang amal soleh dan alangkah banyak pintu-pintunya. 

Tidak perlu berebut dan berasak-asak untuk memasukinya. Di mana-mana dan pada bila-bila masa amal soleh menanti kita.
Bermula di dalam rumah, suami memuliakan isteri, isteri menghormati suami. 

Ibu bapa mengasihi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa.
Di jalan raya bersopan dan patuhi undang-undang. 

Di tempat letak kereta, letak dengan baik dan tidak menghalangi laluan orang lain.
Di tempat kerja tunaikan hak pelanggan, majikan menjaga kebajikan perkerja, pekerja menjalankan tugas dengan amanah.
Di sekolah guru-guru dihormati, murid-murid disantuni.
Pengamal media tidak menyiarkan berita palsu, berita fitnah, berita yang mengaibkan.

Sesungguhnya, 10 hari daripada Zulhijjah akan datang dan pergi sebagaimana hari-hari yang lain juga. Inilah masanya untuk kita semua berebut dan berlumba-lumba mengislahkan amal agar menjadi amal soleh yang paling disukai Allah.
Selamat beramal soleh.
Sumber:  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan