MEMBANGUN GENERASI FURQAN

Ahad, 6 Oktober 2013

Amalan 10 hari pertama Zulhijjah



Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Setiap ruas sendi manusia wajib memberi sedekah pada setiap hari apabila terbit matahari. Mendamaikan antara dua orang (yang bertelagah) satu sedekah, membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya satu sedekah, kata-kata yang baik satu sedekah, setiap satu langkah ke tempat solat satu sedekah, membuang kotoran di jalan satu sedekah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan apa yang disebut oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam hadis di atas, Abu Dzar bertanya baginda, “Kalau saya tidak buat semua itu?”
Apa jawapan Nabi?
Baginda menjawab: “Engkau menolong orang yang sedang bekerja, atau membantu orang yang tidak mahir dalam pekerjaannya.”
Abu Dzar tidak berhenti di situ. Dia terfikir tentang golongan yang tidak punya apa-apa, baik harta, tenaga mahupun kepandaian, maka apa yang boleh dia lakukan? “Bagaimana ya Rasulullah, mereka yang tidak ada kebolehan untuk melakukan apa-apa amalan?”
Namun Nabi sallallahu alaihi wasallam berpandangan lebih luas daripada itu. Lalu baginda menjawab: “Engkau menahan dirimu daripada melakukan kejahatan terhadap manusia. Sesungguhnya itu adalah satu sedekah daripada dirimu untuk dirimu!”
Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Alangkah luasnya ruang amal soleh dan alangkah banyak pintu-pintunya. 

Tidak perlu berebut dan berasak-asak untuk memasukinya. Di mana-mana dan pada bila-bila masa amal soleh menanti kita.
Bermula di dalam rumah, suami memuliakan isteri, isteri menghormati suami. 

Ibu bapa mengasihi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa.
Di jalan raya bersopan dan patuhi undang-undang. 

Di tempat letak kereta, letak dengan baik dan tidak menghalangi laluan orang lain.
Di tempat kerja tunaikan hak pelanggan, majikan menjaga kebajikan perkerja, pekerja menjalankan tugas dengan amanah.
Di sekolah guru-guru dihormati, murid-murid disantuni.
Pengamal media tidak menyiarkan berita palsu, berita fitnah, berita yang mengaibkan.

Sesungguhnya, 10 hari daripada Zulhijjah akan datang dan pergi sebagaimana hari-hari yang lain juga. Inilah masanya untuk kita semua berebut dan berlumba-lumba mengislahkan amal agar menjadi amal soleh yang paling disukai Allah.
Selamat beramal soleh.
Sumber:  

Sabtu, 5 Oktober 2013

Mencari Rezeki Yang Halal

Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan.

Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah kepadanya. Maka takutlah kepada Allah dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapatdiperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”   

H.R. Ibn Majah dan at-Tabrani

Khamis, 3 Oktober 2013

Kelebihan Solat Jumaat

Nabi s.a.w bersabda: “Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid – Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.” (Abu Hurairah r.a).

Hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari RA bahawasanya Abu Hurairah r.a telah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang mandi pada Jumaat seperti mandi janabat (mandi dengan membersihkan seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi untuk (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka ganjarannya sama seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, ganjarannya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, ganjarannya pula seperti orang yang berkorban seekor biri-­biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah. (Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid)

Malaikat Turut Solat dan Hadiah Pahala Solat Jumaat

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa Allah mencipta sebuah menara diperbuat daripada perak putih, di sebelah Albaitul-Ma’mur. Tinggi menara itu sejauh perjalanan lima ratus tahun. Pada tiap-tiap Jumaat naiklah Jibril ke atas menara itu dan berkumandanglah azan, lalu Israfil naik ke mimbar dan berkhutbah dan Mikail mengimami malaikat.

Selepas mereka selesai mengerjakan solat, berkatalah Jibril: “Pahala yang aku peroleh daripada azanku diberikan kepada muazin di muka bumi.”

Israfil berkata: “Pahala yang aku peroleh daripada khutbahku, kuberikan kepada khatib di muka bumi.”

Dan malaikat berkata: “Pahala yang ku peroleh sebab sudah melakukan solat Jumaat di belakang imam, kami berikan kepada seluruh umat Muhammad yang mengerjakan solat Jumaat di belakang imam.”

Kemudian Allah berfirman: “Wahai malaikat-Ku, kalian sudah memperlihatkan kemurahan hati demikian rupa, maka demi keagungan-Ku dan kebesaran-Ku, Aku nyatakan hari ini Ku ampuni dosa semua hamba-Ku yang mengerjakan solat Jumaat dalam memenuhi perintah-Ku dan tuntutan kekasih-Ku, Muhammad.” Ada keterangan menyatakan ada malaikat bertugas sebagai penjaga masjid pada Jumaat, adalah sebagai berikut:

Rasulullah S.A.W bersabda: “Tatkala Jumaat datang, Allah mengutus malaikatnya turun ke bumi membawa kalam daripada emas dan kertas daripada perak. “Catat nama mereka yang berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat siapa yang masuk ke masjid.” Ketika mereka selesai mengerjakan solat Jumaat, malaikat itu kembali ke langit, lalu melaporkannya kepada Allah: “Wahai Tuhan kami, kami sudah mencatat siapa yang masuk masjid dan bersolat Jumaat.” Lalu Allah berfirman: “Hai malaikat-Ku, demi kemuliaan-Ku dan demi kebesaran-Ku, sudah Aku ampuni segala dosa mereka.” (Raunaqul-Majalis)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2013/01/25/kelebihan-hadir-solah-jumaat/

Selasa, 1 Oktober 2013

ADAB BERDOA


Ada beberapa adab dan peraturan yang disunahkan agar mendapat kelebihan dan barakah dari Allah dan supaya doa itu dimakbulkan. Berikut ini diberikan beberapa panduan menurut Al-Quran dan sunnah.

    Berdoalah dengan suara yang lembut

Doa adalah ditujukan kepada Allah yang Maha Mendengar. Apa sahaja doa kita akan didengari Allah. Oleh yang demikian tak perlulah kita mengeraskan suara.

    Berdoa dengan penuh yakin

Hendaklah berdoa dengan penuh yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan. Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda”: “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah: “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.” H.R. Anas r.a.

    Memohon Sebanyak Tiga Kali

Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas’ud berkata: Baginda Rasulullah s.a.w. jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali. (H.R Bukhari dan Muslim)

    Bersalawat Kepada Nabi s.a.w.:

Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

    Menghadap qiblat.

Dari Abdullah Bin Mas’ud r.a., katanya: Nabi Muhammad s.a.w. menghadap ke Ka’bah, lalu beliau berdoa mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy. H.R. Bukhari dan Muslim

    Mengangkat Kedua-dua Belah Tangan Sambil Berdoa

Abdullah Bin Omar (ra) berkata: Nabi Muhammad SAW. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali). (Diriwayatkan oleh Al Bukhari)

Dalam hadis lain, berkata Abu Musa: Kemudian baginda Rasul s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda. (HR Imam Bukhari)

    Berwudhu’ Sebelum Berdoa

Berkata Abu Musa (ra): Sebelum ‘Ubaid Abu ‘Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya. Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul s.a.w. lalu baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian beliau berwudhu’ dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa): Ya Allah, jadikanlah dia pada Hari Kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu. Lalu akupun berkata: Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah. Kemudian baginda berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada Hari Kiamat. (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim)

    Berdoa Sambil Menangis

Dari Abdullah Bin ‘Amr Bin Al ‘Ash r.a, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. membaca ucapan Nabi Isa a.s.: Ertinya: “Sekiranya Engkau seksakan mereka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba-Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. (Al Maidah: 11)

Lalu Rasul s.a.w. menganqkat kedua-dua tangannya dan berdoa: “Ya Allah, umatku, umatku “, (sambil baginda menangis). Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman kepada Jibril (a.s.): Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu “. (HR Imam Muslim)

    Berdoa Dengan Merendah Diri

Allah s.w.t. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada-Nya, antaranya: “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (“Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.” (Al Anbiyaa: 83)

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik”. (Al Anbiyaa: 89)

    Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab

Ada beberapa waktu berdoa yang mustajab menurut hadis dan al-Quran. Antaranya ialah ketika berpuasa, ketika sebelum berbuka, ketika hujan lebat, selepas berzikir dan sebagainya. Doa orang yang teraniaya atau dizalimi juga dimakbulkan, oleh yang demikian, janganlah kita menganiayai sesiapa sahaja.

Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati. tanpa mengeluarkan suara.)